Thursday, 29 November 2012

Hari Raya Aidiladha

HARI RAYA AIDILADHA



Hari Raya Aidiladha atau juga disebut Hari Raya Korban dan Hari Raya Haji merupakan perayaan agama yang disambut oleh seluruh umat Islam di dunia. Hari raya ini menandakan berakhirnya tempoh mengerjakan ibadat haji di Mekah, iaitu sehari selepas jemaah haji mengerjakan wukuf di Arafah.
Orang-orang Islam menyambut Aidiladha pada tanggal 10 Zulhijjah pada setiap tahun, iaitu 2 bulan selepas Syawal. Malah, bulan ini merupakan bulan terakhir dalam kalendar Hijrah Islam. Perkataan 'Aidiladha' berasal daripada bahasa Arab yang membawa maksud 'hari penyembelihan korban'. Ini sempena memperingati kisah Nabi Ibrahim A.S yang diperintahkan oleh Allah S.W.T agar menyembelih anaknya, iaitu Nabi Ismail A.S. Walaupun dengan hati yang amat berat, Nabi Ibrahim terus taat dengan suruhan Allah untuk menyembelih anaknya. Walau bagaimanapun, Allah telah menggantikan Nabi Ismail dengan seekor kibas.
Sehubungan dengan itu, sebagai mengingati perintah Allah kepada Nabi Ismail ini, masyarakat Islam yang berkemampuan digalakkan menyembelih binatang seperti kambing atau lembu sebagai korban pada hari raya ini. Daging sembelihan ini akan dibahagikan, terutamanya kepada fakir miskin.
Selain itu, salah satu keistimewaan Aidiladha dan Hari Tasyrik ialah ibadat korban. Ibadat korban ini hanya boleh dilakukan dalam empat hari iaitu bermula waktu selepas khatib menyampaikan khutbah Aidiladha sehingga sebelum tenggelam matahari pada hari ke-13 Zulhijah.
Dari segi bahasa, korban bermaksud dekat, manakala dari segi istilah ia bermaksud menjalankan perintah agama atau taat kepada perintah Allah kerana ingin mendekatkan diri kepada-Nya.
Hari Raya Korban jatuh pada hari kesepuluh pada bulan Zulhijjah, bulan terakhir pada kalender Hijrah Islam. 10 Zulhijjah merupakan tarikh penting dalam sejarah Islam di mana Nabi Adam dan isterinya Hawa dikeluarkan dari syurga dan diturunkan ke bumi sebelum berjumpa di padang Arafah, di luar bandar Mekah.
Sambutan Hari Raya Aidiladha di Malaysia, biasanya dimulakan dengan bacaan takbir dan tahmid secara berjemaah di masjid. Selepas itu, disusuli pula dengan sembahyang sunat Aidiladha pada waktu pagi. Kemudian bacaan khutbah akan diperdengarkan yang berkisarkan tentang pengorbanan dan perjuangan Nabi Ibrahim.
Pada hari raya, orang Islam disunatkan mengenakan pakaian yang paling cantik, paling bersih, dan juga mengenakan wangi-wangian. Pada pagi hari raya korban, umat Islam akan mengerjakan sembahyang sunat Hari Raya sebanyak 2 rakaat akan diadakan pada sebelah pagi, biasanya agak awal sedikit Hari Raya Aidil Fitri.
Selepas habis mendengar khutbah, umat Islam akan mengambil kesempatan berkunjung ke rumah saudara mara dan sahabat handai untuk mengeratkan silaturahim sambil menjamu selera dengan juadah istimewa. Acara penyembelihan korban pula akan diadakan selepas itu dan tiga hari berikutnya, iaitu pada 11, 12, dan 13 hari Tasyrik. Seluruh masyarakat akan bersama-sama membuat kerja-kerja penyembelihan tersebut. Disini lembu, kambing dan kerbau akan disembelih sebagai lambang tulus dan ikhlasnya hamba kepada Allah. Selepas binatang ternakan itu disembelih, daging akan dibahagi-bahagikan. Satu pertiga diberi kepada tuan punya, dan selebihnya diberi kepada fakir miskin, jiran-jiran dan semua orang Islam. Hikmah dari cara ini adalah ia mengeratkan silaturrahim dan membantu orang-orang yang kurang berkemampuan.
Selepas sembahyang, sekali lagi umat Islam akan berbondong-bondong melawati perkuburan orang yang disayangi. Semua orang akan memakai pakaian baru dan selepas itu yang muda akan memohon kemaafan daripada yang tua. Selepas itu semua orang akan menjamah pelbagai juadah yang disediakan sebelum ziarah dan menziarahi sesama mereka.
Aidiladha juga disambut dengan tradisi kunjung mengunjung dan rumah terbuka. Aidiladha juga adalah lambang keabdian hamba kepada Allah, dimana kita harus bersyukur atas nikmatNya dengan menyedekahkan sebahagian harta kepada mereka yang kurang bernasib baik.
      
Penyembelihan Korban

Pembahagian daging korban

No comments:

Post a Comment