Thursday, 29 November 2012

Pesta Songkran

PESTA SONGKRAN

Songkran merupakan perayaan tahun baru tradisional Siam. Masyarakat Siam di Kelantan turut menyambut perayaan tahun baru ini. Perayaan ini juga dikenali sebagai pesta Songkran. Songkran disambut berdasarkan kepada Kalendar lunar Siam iaitu pada bulan kelima semasa bulan purnama dan jatuh pada hari kelima belas. Sekiranya mengikut kalendar masihi, pesta Songkran ini disambut pada pertengahan bulan April.
 
Pesta Songkran ini juga lebih dikenali sebagai pesta mandi air iaitu mereka akan menyimbah air sesama mereka dan juga kepada orang ramai. Kebetulan, pesta Songkran ini adalah jatuh pada hari yang terpanas dalam satu tahun.

Pesta Songkran ini juga dikaitkan dengan agama Buddha melalui upacara memandikan bhiku dan upacara Sai Bhat. Pada hari pesta Songkran, masyarakat Siam di Kelantan menjadikan hari tersebut sebagai hari untuk melakukan kebaikan sebagai menambah pahala. Mereka akan menderma barang-barang seperti kain persalinan bhiku, duit dan sebagainya. Pada hari keesokannya, iaitu pada sebelah pagi upacara Sai Bhat diadakan. Tujuannya ialah untuk memberi makan kepada bhiku. Biasanya suri rumah akan membawa makanan yang telah dimasak dan dipersembahkan kepada bhiku.

Walaupun pesta Songkran ini bukanlah perayaan keagamaan tetapi masyarakat Siam menjadikan perayaan tersebut sebagai satu cara untuk Tham Bun. Biasanya pada hari tersebut mereka akan mengadakan upacara memandikan imej Buddha dan bhiku. Orang ramai akan berkunjung ke wat pada pagi hari dan kaum lelaki akan membersihkan persekitaran wat sebagai tanda akan memulakan penghidupan baru dan membuang segala perbuatan jahat yang dilakukan pada tahun yang lepas. Di samping itu satu tempat khas akan disediakan untuk upacara memandikan imej Buddha dan bhiku. Biasanya tempat khas tersebut adalah berbentuk pentas kecil yang mempunyai bumbung.

Tradisi saling menyimbah air
Pemberian derma kepada bhiku

No comments:

Post a Comment